Wednesday, 29 November 2017


Sekitar Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Sekolah Tahfiz yang juga dihadiri oleh pihak pentadbiran madrasah-madrasah termasuklah MATRIS.

30 Okt, 2017



BANGI: Semua sekolah tahfiz akan digalakkan untuk melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik dengan mengamalkan konsep pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).



Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata semua tempat kerja mempunyai bahaya dan risiko yang perlu diatasi dan adalah menjadi tanggungjawab mereka di tempat kerja, temasuk di sekolah-sekolah tahfiz, untuk mengenalpastinya dan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mencegah kemalangan dan kematian.

"NIOSH akan mengadakan kempen berterusan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan KKP dan cara melaksanakan HIRARC di semua sekolah tahfiz, katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Sekolah-sekolah Tahfiz (OSH for Tahfiz) di ibu pejabat NIOSH di sini hari ini.



Program sehari itu diadakan dengan kerjasama Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran Selangor (Pinta Selangor) sebelum ia diperluaskan ke negeri-negeri lain.



Turut hadir pengarah eksekutif NIOSH Zahrim Osman dan Bendahari Kehormat PINTA Kebangsaan dan Pengerusi PINTA Selangor Ustaz Mohd Dailami Che Age.



Lee berkata program OSH for Tahfiz ini dibuat berpandukan program OSH in School yang dilaksanakan oleh NIOSH dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sejak tahun 2015.



"Pelaksanaan “OSH for Tahfiz” merupakan konsep yang lebih menyeluruh kerana ia menganggap institusi tersebut sebagai sebuah tempat kerja dan tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994)," katanya.



Beliau berkata tujuan OSHA 1994 diwujudkan adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja, melindungi orang-orang yang berada di dalam kawasan tempat kerja dan untuk mengadakan persekitaran kerja yang sesuai dengan kehendak psikologi dan fisiologi pekerja.



Di sekolah atau tahfiz, orang yang bekerja ialah guru, pentadbir dan kakitangan sokongan. Manakala istilah ‘orang-orang yang berada dalam kawasan tempat kerja’ pula merujuk kepada pelajar, kontraktor dan pelawat termasuk ibu bapa. Pengurusan tahfiz, Jabatan Agama Negeri atau Persekutuan pula merupakan “majikan” kepada sekolah tahfiz tersebut.



Menurut beliau, NIOSH mengorak langkah untuk mengadakan kempen kesedaran KKP di sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara ekoran tragedi kebakaran yang sering berlaku terutamanya selepas insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar serta dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat pada 14 Sept lepas.



 "Walaupun dilaporkan kejadian tersebut berlaku akibat perbuatan khianat, ia turut membuka mata kita semua mengenai tahap keselamatan di sekolah-sekolah tahfiz yang masih tidak memuaskan," katanya.

 Selepas kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tersebut, Lee berkata pihak kerajaan telah menubuhkan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Menurut beliau, NIOSH turut dijemput menganggotai pasukan khas tersebut dan ditugaskan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan du sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara.



Bagi menjayakan kempen keselamatan seluruh negara ini, NIOSH akan turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan dan Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM).



Sebagai permulaan, beliau berkata NIOSH akan turut mengedarkan poster tentang keselamatan di sekolah-sekolah tahfiz selain buku panduan keselamatan yang boleh menjadi rujukan kepada mereka yang terbabit.



"NIOSH turut menghantar pasukan khasnya untuk melawat sekolah-sekolah tahfiz bagi mengenalapasti hazard dan masalah yang ada di premis terbabit.



“Antaranya adalah kabel elektrik yang terdedah dan kedudukannya  merentangi laluan serta penggunaan lingkaran nyamuk yang tidak diletak dalam bekas yang sesuai. Terdapat juga pintu kecemasan yang dihalang dengan pelbagai objek manakala pemadam api pula tidak disenggara atau disimpan jauh dari bangunan sekolah dan hostel,” katanya.



Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa hanya 80 daripada 1,238 pusat tahfiz yang telah diperiksa di seluruh negara menerima kelulusan bangunan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.



Daripasa jumlah itu, 73 merupakan pusat tahfiz yang berdaftar dengan majlis agama atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala tujuh lagi tidak berdaftar dengan mana-mana pihak.



Dilaporkan kira-kira 150 ribu pelajar belajar di sekolah di lebih 1,200 sekolah tahfiz seluruh negara namun ada di antaranya tidak didaftarkan.



Lee turut menjelaskan bahawa NIOSH juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) seperti Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) untuk melawat sekolah-sekolah tahfiz, mendapatkan input daripada pihak pentadbiran mereka dan melaksanakan kempen kesedaran KKP.



TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)



1 comment:

  1. Harrah's Resort Southern California - Mapyro
    Find your way around the 나주 출장안마 casino, find where everything 안산 출장마사지 is 경상북도 출장안마 located, and what's great about it. What are some 여수 출장마사지 of 창원 출장샵 the restaurants and bars/casinos?

    ReplyDelete